Pages

Selamat Datang... Ahlan wasahlan...

Wednesday, December 7, 2011

Persediaan-persediaan untuk Menjadi Naqib Usrah…


Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana dengan rahmah dan rahimnya, kita masih dilanjutkan usia sehingga ke hari ini untuk melaksanakan tuntutan sebagai seorang HambaNya dan Khalifah di muka bumi ini.

Membawa sebuah usrah, atau menjadi seorang Naqib pastinya memerlukan beberapa bentuk persediaan. Samalah juga sekiranya seseorang itu hendak berakit. Pastinya memerlukan persediaan yang mencukupi atau sekurang-kurangnya asas dalam pelayaran.

Tugas seorang pendakwah bukanlah semudah berjalan di atas karpet merah yang sedia terbentang di depan mata. Bahkan ianya memerlukan mujahadah atau pengorbanan yang cukup tinggi. Sedia berkorban masa, sedia berkorban harta, dan sedia untuk berkorban tenaga... Itulah dia daie!


Berakit juga memerlukan persediaan mental dan fizikal

 ** Penulisan ini mungkin hanya merangkumi sebahagian sahaja tips dan persediaan menjadi naqib. Sebenarnya sedikit demi sedikit seorang naqib itu perlu belajar secara berterusan melalui pembacaan dan pengalamannya.


Hubungan dengan Allah

Para Rasul terdahulu, dan begitu juga Nabi kita, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, telah meletakkan keyakinan yang tersangat tinggi kepada Allah SWT. Inilah kekuatan yang paling ampuh yang tiada taranya. Hubungan dengan Allah jua lah yang akan menjadi motivasi diri untuk bersedia menghadapi segala macam perkara yang akan terjadi.

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, atau sedikit (daripadanya), (yaitu) seperduanya atau kurang dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat.” 
[Surah Al-Muzzammil, 73: Ayat 1-5]


Qiyamullail sebagai sumber kekuatan dalaman seorang pendakwah

Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan tips buat para pendakwah. Iaitu bangun untuk berqiyamullail dan meminta kekuatan daripadaNya. Tiada kekuatan lain yang setanding dengan kekuatan yang Allah berikan. Justeru para daie, mari kita semak semula bagaimanakah qiyamullail kita? Dan bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.


Hubungan dengan manusia

Apabila bersama dengan mutarobbi (orang yang ditarbiyah atau sasaran dakwah), maka sikap yang mula-mula harus disemai adalah sikap sabar. Sabarkah kita menanti saat mutarobbi berubah? Sabarkah kita dengan karenah mutarobbi yang pelbagai? Sabarkah kita apabila mutarobbi tidak membalas mesej? Tak angkat ‘call’? Dan sabarkah kita bila dia meminta untuk futur (melemah dalam proses tarbiyah)?

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” 
[Surah Ali ‘Imran, 3: Ayat 159]

Berlemah lembutlah dalam menjalinkan ukhuwah sesama Muslim


Lihatlah betapa Allah cinta dan kasih kepada para pendakwah. Tugas mulia yang digalas oleh para daie ini, telah Allah gariskan panduannya dalam berhubung dengan manusia. Sifat sabar dan lemah lembutlah yang mampu menarik hati-hati manusia kembali kepada fitrah, kembali rasa taqwanya kepada yang Maha Esa. Maka semakin lama kita berada di jalan tarbiyah, maka semakin sabar dan lemah lembutlah kita. Mudah memaafkan dan terus mendoakan mereka itulah sifat yang paling mulia di sisi Allah. Namun permasalahan yang timbul haruslah diselesaikan dengan berbincang bersama-sama dan seterusnya meletakkan rasa tawakkal hanya kepada Allah SWT.


Ilmu yang haq dan akhlak yang terpuji

Dalam berdakwah, ilmu yang hendak disampaikan haruslah berlandaskan dalil yang jelas. Nas dari Al-Quran dan Hadith-hadith Sahih sebagai hujah. Bukanlah taqlid buta. Andai tidak tahu, maka usahlah meninggi diri seolah-olah tahu segala-galanya. Tangguhkan persoalan dan rujuk pada yang pakar umpamanya para asatizah atau orang-orang yang alim mengenainya. Serulah kebenaran dengan kejelasan jalan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Seorang daie juga harus memastikan akhlaknya dapat dijadikan contoh oleh para mutarobbinya. Bukanlah pendakwah namanya jika ucapannya mencaci maki saudara seislamnya. Bukanlah jua pendakwah namanya jika ucapannya berbaur fitnah dan permusuhan. Seorang pendakwah itu sangat teliti dalam tindak tanduknya dan mempunyai hala tuju yang jelas kemana dia ingin menyeru. Hala tuju yang jelas dapat dibina sedikit demi sedikit melalui pembacaan, perbincangan, penerangan daripada orang yang ahli dalam bidangnya dan juga melalui aktiviti-aktiviti yang objektifnya telah disusun dengan jelas (tarbiyah bil-ahdaf).


Menjalin silaturrahim menambah keberkatan dalam hidup


Tersusun Masanya

Para pendakwah haruslah bersedia untuk mengorbankan masa lapangnya untuk kerja-kerja dakwah. Antara masa-masa yang perlu diperuntukkan adalah seperti daurah bagi peningkatan kemahiran dakwah dan tsaqafah (wawasan). Memperuntukkan masa untuk ibadah, ziarah, dan usrah. InsyaAllah sedikit demi sedikit sifat ini boleh disemai. Sedikit masa yang sebelum ini yang sering diperuntukkan untuk games dan movie, haruslah dikorbankan dan difokuskan kepada peningkatan diri dan pentarbiyahan mutarobbi.


"If you fail to plan, you plan for fail"

Tulisan ini tampak ideal. Penulis tidaklah seratus peratus ‘perfect’ seperti yang dituliskan. Namun bersama-samalah kita mengusahakan yang terbaik buat diri sendiri dan demi umat Islam yang lain. Tegurlah andai ada kesalahan yang diri sendiri tidak Nampak. Moga-moga kesan dakwah dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat Muslim khususnya di Malaysia ini. Wallahu a’laam…

2 comments:

nurus syazana abd wahid said...

salam...mintk share eh...manfaat brsama... :)

. said...

Silakan... you're freely to copy...