Selamat Datang... Ahlan wasahlan...

Tuesday, December 20, 2011

Review buku: 20 Soalan Paling Lazim Tentang Islam


Assalamualaikum wbt...

Buku yang nak di 'review' kali ni dibuat semasa saya sedang menyiapkan assignment subjek Falsafah Sains dan Ketamadunan. Subjek elektif yang perlu diambil oleh student-student research. Alang-alang dah buat assignment, apa lagi upload jela...

Layanz~

Download: 20 Soalan Lazim

Monday, December 19, 2011

Walimah Housemate... :)

Salam... Alhamdulillah akhirnya seorang housemate telah selamat diijabkabulkan pada dua hari yang lepas iaitu pada 17 Disember 2011. Kami yang masih bujang ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Asyraf. Terimalah video khas rakaman ucapan buat Asyraf~

Tahniah buat pengantin baru :)

Wednesday, December 7, 2011

Persediaan-persediaan untuk Menjadi Naqib Usrah…


Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana dengan rahmah dan rahimnya, kita masih dilanjutkan usia sehingga ke hari ini untuk melaksanakan tuntutan sebagai seorang HambaNya dan Khalifah di muka bumi ini.

Membawa sebuah usrah, atau menjadi seorang Naqib pastinya memerlukan beberapa bentuk persediaan. Samalah juga sekiranya seseorang itu hendak berakit. Pastinya memerlukan persediaan yang mencukupi atau sekurang-kurangnya asas dalam pelayaran.

Tugas seorang pendakwah bukanlah semudah berjalan di atas karpet merah yang sedia terbentang di depan mata. Bahkan ianya memerlukan mujahadah atau pengorbanan yang cukup tinggi. Sedia berkorban masa, sedia berkorban harta, dan sedia untuk berkorban tenaga... Itulah dia daie!


Berakit juga memerlukan persediaan mental dan fizikal

 ** Penulisan ini mungkin hanya merangkumi sebahagian sahaja tips dan persediaan menjadi naqib. Sebenarnya sedikit demi sedikit seorang naqib itu perlu belajar secara berterusan melalui pembacaan dan pengalamannya.


Hubungan dengan Allah

Para Rasul terdahulu, dan begitu juga Nabi kita, Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, telah meletakkan keyakinan yang tersangat tinggi kepada Allah SWT. Inilah kekuatan yang paling ampuh yang tiada taranya. Hubungan dengan Allah jua lah yang akan menjadi motivasi diri untuk bersedia menghadapi segala macam perkara yang akan terjadi.

“Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, atau sedikit (daripadanya), (yaitu) seperduanya atau kurang dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat.” 
[Surah Al-Muzzammil, 73: Ayat 1-5]


Qiyamullail sebagai sumber kekuatan dalaman seorang pendakwah

Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan tips buat para pendakwah. Iaitu bangun untuk berqiyamullail dan meminta kekuatan daripadaNya. Tiada kekuatan lain yang setanding dengan kekuatan yang Allah berikan. Justeru para daie, mari kita semak semula bagaimanakah qiyamullail kita? Dan bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT.


Hubungan dengan manusia

Apabila bersama dengan mutarobbi (orang yang ditarbiyah atau sasaran dakwah), maka sikap yang mula-mula harus disemai adalah sikap sabar. Sabarkah kita menanti saat mutarobbi berubah? Sabarkah kita dengan karenah mutarobbi yang pelbagai? Sabarkah kita apabila mutarobbi tidak membalas mesej? Tak angkat ‘call’? Dan sabarkah kita bila dia meminta untuk futur (melemah dalam proses tarbiyah)?

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” 
[Surah Ali ‘Imran, 3: Ayat 159]

Berlemah lembutlah dalam menjalinkan ukhuwah sesama Muslim


Lihatlah betapa Allah cinta dan kasih kepada para pendakwah. Tugas mulia yang digalas oleh para daie ini, telah Allah gariskan panduannya dalam berhubung dengan manusia. Sifat sabar dan lemah lembutlah yang mampu menarik hati-hati manusia kembali kepada fitrah, kembali rasa taqwanya kepada yang Maha Esa. Maka semakin lama kita berada di jalan tarbiyah, maka semakin sabar dan lemah lembutlah kita. Mudah memaafkan dan terus mendoakan mereka itulah sifat yang paling mulia di sisi Allah. Namun permasalahan yang timbul haruslah diselesaikan dengan berbincang bersama-sama dan seterusnya meletakkan rasa tawakkal hanya kepada Allah SWT.


Ilmu yang haq dan akhlak yang terpuji

Dalam berdakwah, ilmu yang hendak disampaikan haruslah berlandaskan dalil yang jelas. Nas dari Al-Quran dan Hadith-hadith Sahih sebagai hujah. Bukanlah taqlid buta. Andai tidak tahu, maka usahlah meninggi diri seolah-olah tahu segala-galanya. Tangguhkan persoalan dan rujuk pada yang pakar umpamanya para asatizah atau orang-orang yang alim mengenainya. Serulah kebenaran dengan kejelasan jalan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Seorang daie juga harus memastikan akhlaknya dapat dijadikan contoh oleh para mutarobbinya. Bukanlah pendakwah namanya jika ucapannya mencaci maki saudara seislamnya. Bukanlah jua pendakwah namanya jika ucapannya berbaur fitnah dan permusuhan. Seorang pendakwah itu sangat teliti dalam tindak tanduknya dan mempunyai hala tuju yang jelas kemana dia ingin menyeru. Hala tuju yang jelas dapat dibina sedikit demi sedikit melalui pembacaan, perbincangan, penerangan daripada orang yang ahli dalam bidangnya dan juga melalui aktiviti-aktiviti yang objektifnya telah disusun dengan jelas (tarbiyah bil-ahdaf).


Menjalin silaturrahim menambah keberkatan dalam hidup


Tersusun Masanya

Para pendakwah haruslah bersedia untuk mengorbankan masa lapangnya untuk kerja-kerja dakwah. Antara masa-masa yang perlu diperuntukkan adalah seperti daurah bagi peningkatan kemahiran dakwah dan tsaqafah (wawasan). Memperuntukkan masa untuk ibadah, ziarah, dan usrah. InsyaAllah sedikit demi sedikit sifat ini boleh disemai. Sedikit masa yang sebelum ini yang sering diperuntukkan untuk games dan movie, haruslah dikorbankan dan difokuskan kepada peningkatan diri dan pentarbiyahan mutarobbi.


"If you fail to plan, you plan for fail"

Tulisan ini tampak ideal. Penulis tidaklah seratus peratus ‘perfect’ seperti yang dituliskan. Namun bersama-samalah kita mengusahakan yang terbaik buat diri sendiri dan demi umat Islam yang lain. Tegurlah andai ada kesalahan yang diri sendiri tidak Nampak. Moga-moga kesan dakwah dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat Muslim khususnya di Malaysia ini. Wallahu a’laam…

Friday, November 25, 2011

~ Promo HIMPUN ~

Video lama. Lambat update...

1st time berucap di 'Speaker Corner UTM'. Selepas solat Jumaat.

Lama tak tengok balik video ni. Bila bukak je semula, Masya-Allah.... Ada jugak komen-komen negatif dalam video promo HIMPUN ni...

Anyway, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menyokong program-program yang membentuk umat beragenda ni. Kalau ada yang tak tahu pasal HIMPUN tu apa, saksikan...

Layan ~

Warkah Buat Camar Terluka

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...
Hari ni hari Jumaat... Penghulu segala hari...

Perkongsian pada Jumaat kali ni berkisar mengenai 'Camar Terluka'. Yang saya nak maksudkan dengan 'camar' tersebut ialah para du'at (jamak kepada daie).

Gambar Hiasan


Tugas para daie bukanlah suatu tugas yang mudah. Membentuk seorang individu Muslim yang cinta dan kasih pada Allah dan Rasulnya serta prihatin terhadap Islam dan Umat Islam yang lain memerlukan pengorbanan yang tidak ternilai harganya.

Seorang daie itu sanggup mengeluarkan wang ringgit bagi melaksanakan misi dakwahnya.
Seorang daie itu tidak mengira masanya yang dihabiskan untuk menziarahi mutarabbi mereka.
Seorang daie itu, dalam doanya senantiasa mendoakan apa yang terbaik buat mutarobbinya.
Dan seorang daie itu terkadang terhiris akan tindakan yang dilakukan oleh mutarobbinya.


Saya tidaklah lama berada dalam gerakan dakwah kampus. Tetapi berdasarkan secebis pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui, mungkin boleh kita berkongsi sesuatu sebagai bekalan dan pedoman tatkala terluka.

Permasalahan-permasalahan mutarabbi itu memang akan seringkali berlaku. Mesej tak balas. Calling tak angkat. Ziarah ke bilik tak dilayan. Berselisih buat tak tahu. Hampir-hampir membuatkan para du'at hilang sabar.

Masakan tidak, para Murabbi/Naqib telah menyediakan bahan untuk menyelesaikan masalah mutarabbinya. Bila tiba pada hari kejadian (ketika usrah), masing-masing memberikan seribu satu alasan untuk tidak hadir. Ada meeting persatuan. Serabut kepala. Tengah makan. Sedang shoping. Kat bilik kawan. Dan macam-macam ragam. Sikap apakah ini? Apakah masih ada kecatatan dalam tarbiyah?

Saya sering berfikir apakah method terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah mutarobbi ini. Bukan sekali dua kes-kes seperti ini berlaku. Bahkan sudah banyak kali. Dan pastinya kes-kes yang paling menyentuh hati dan perasaan adalah ketika mana di satu pertemuan, kesemua mutarobbi tidak hadir. Malah mengecewakan apabila mesej tidak berbalas. Call tidak diangkat. Dan kemudian handset di'off'kan!

Saya pernah mengalaminya sewaktu kali pertama membawa usrah/halaqah. Cuba bayangkan kelima-lima mutarobbi tidak dapat dihubungi pada masa dan tempat yang telah dijanjikan! Hati siapa yang tidak terobek dengan perbuatan tersebut. Kita hadir dengan keikhlasan. Kita hadir dengan kasih sayang. Akan tetapi inilah balasan yang diberikan.

Teringat suatu ketika dahulu ketika kejadian ini berlaku. Lalu ketika kesedihan sedang melanda, maka hadirlah bekas Murabbiku (yang saya rasakan harus disebut namanya sebagai menghargai jasanya) iaitu akhi Sukor. Dalam kesedihan, dia mengucapkan bait-bait kata indah yang masih segar diingatanku pada saat ini, walaupun peristiwa tersebut telah 3 tahun berlalu.

Kata akhi Sukor (yang lebih kurang maksudnya): Anta baru sahaja bawa mereka. Mereka berlari-lari dan bersembunyi. Akan tetapi, ketahuilah bahawa ketika Nabi Nuh dahulu berdakwah, semua orang tutup telinga mereka! Nabi Nuh berdakwah siang dan malam tetapi takda seorang pun yang beriman kepada Allah SWT melainkan sedikit. Hampir seribu tahun akhi! Tetapi jumlah yang beriman terlalu sedikit.

Gambar Hiasan


Saya cuba menyemak kembali Firman Allah dalam Surah Nuh atas nasihat akhi Sukor. Allah SWT berfirman:

"Nuh berkata: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (kemukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan. kemudian sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) dengan terang-terangan dan dengan diam-diam. maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun-," 
[Surah Nuh, 71: Ayat 5-10]



Firman Allah lagi:

"Hingga apabila perintah Kami datang dan dapur telah memancarkan air, Kami berfirman: "Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing-masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang-orang yang beriman." Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit."
[Surah Huud, 11: Ayat 40]

Alhamdulillah, Kisah Nabi Nuh ini merupakan ubat yang paling menenangkan jiwa seorang daie. Sesungguhnya pada ketika itu, hati ini benar-benar merasai bahawa Al-Quran sedang berbicara secara langsung dengan jiwa ini. Sebak seketika itu juga.

Duhai para Mujahidin, para daie dan para Murobbi yang ikhlas berjuang pada jalan Allah. Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah amat mengetahui bisikan hati antum. Tiada yang amat mengetahui selain daripadaNya. Saya masih tidak menjumpai apakah solusi yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berulang-ulang kali berlaku pada Mutarobbi. Tiada formula spesifik untuk menyelesaikannya. Setiap mutarobbi solusi kepada permasalahan mereka pasti akan ada bezanya. Cuma yang saya rasakan paling tepat dan paling mencakupi keseluruhan permasalahan ialah: TERUSKAN BERSABAR.

Akhir kata, tazkirah Jumaat ini saya sudahi dengan Firman Allah SWT:

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
[Surah Al-Baqarah, 2: Ayat 153]

Wallahu a'laam...

Saturday, October 1, 2011

JAPAN: Wajib Tepati Masa!

~Assalamualaikum~
Hajimemashite.
Watashi wa Rusydi desu.
Watashi wa Mareisia kara kimashita.
Douzo yoroshiku~

Ini adalah ucapan pengenalan dalam bahasa Jepun. Alhamdulillah minggu lepas baru saya baru balik dari sana, setelah 5 hari berada di bumi Sakura tersebut. Penat pun baru hilang.

Going to Japan is a great journey!

Matawang Jepun memang mahal. Currency mereka 4.0 berbanding Malaysia buat masa ni. Maksudnya nilai matawang mereka ialah 4x ganda. Kalau 100 yen tu bagi mereka sama seperti seringgit kita. Boleh la kalau nak beli air tin. Tapi kalau nak dapatkan 100 yen tu, kita kena ada RM4.

Anyway, belajar bahasa asing sebenarnya ialah salah satu investment. Kita tak tahu bila kita akan menggunakannya. Saya pun tak jangka saya akan ke Jepun pada bulan ini. Sedangkan saya ambil kelas Bahasa Jepun ialah pada setahun yang lalu secara suka-suka. Alhamdulillah walaupun banyak yang telah lupa, tetapi boleh segera catch-up bila review semula Bahasa Jepun ni.

Antara yang menarik, di sana ialah budaya menepati masa. Sepanjang berada di sana, saya ada menaiki bas. Jadual bas tersebut akan bertolak ialah pada pukul 9.15pm. Kami tiba lebih awal dan saya ada menjenguk-jenguk jam di dalam bas tersebut. Jam baru menunjukkan pukul 9.14pm. Kami masih menunggu bas untuk bergerak. Tiba-tiba....

Jam bertukar dari 9.14pm ke 9.15pm.

Tussss..... (bunyi pintu bas ditutup)

Vroom..... Bas pun berjalan....

Pergh.... tepat sungguh masa dia! Very punctual~

Video di dalam bas yang sempat dirakam...

Agak-agak budaya ini boleh tak subur di Malaysia? Biasanya orang kita bila berjanji, masa yang telah ditetapkan itu mereka anggap flexible time. Maksudnya kalau lewat sedikit pun tidak mengapa. Tetapi saya menganggap budaya menepati masa ini adalah suatu tuntutan yang harus kita terapkan dalam kehidupan seharian. Sebabnya ialah ia berkait dengan soal menepati janji. Jadi, tidaklah membung masa orang yang menunggu kita. Saya sedang cuba membayangkan kalau di Malaysia ini budaya menepati masa ini diterapkan sepenuhnya oleh semua orang....

Wah~ Pasti menarik!

Friday, September 30, 2011

Andai boleh bahagi badan ni kepada banyak =)

Salam Saidul Ayyam.... 

Jumaat yang Barokah, InsyaAllah...

Tengah dalam dilema.... Minggu depan nampak gayanya macam kena balik KL. Mak dah mesej dah kata

"9 hb. Sara (sepupu) kawen. Taknak balik ke? "

Gulp... alamak, tarikh tu dah dekat la pulak... Haritu masa dapat tahu tu, tengah raya. Rasa lambat lagi sepupu tu nak kawen. Aigo.... tengah banyak kerja ni tiba-tiba teringat. Tak manis la pulak kalau tak pergi kenduri dia. Erm, 8 hb. pulak bekas SV PSM pun buat kenduri kawen. Pun kena datang juga.

Andai boleh bahagi badan ni kepada banyak~


p/s: macam kartun naruto lak... huhu....

Mata Raisho~

AKhirnya~

Huh... Assalamualaikum dan selamat tengahari....

Akhirnya siap jugak "Book Chapter" neh.... dari pagi tadi bertungkus lumus... 1st time buat, so agak slow... memandangkan takde reference and guidance. Alhamdulillah ada juga housemate-housemate yang tolong. Dan kawan-kawan turut membantu.


Hopefully dah terlepas beban PSM (Projek Sarjana Muda tahun akhir). Sebab PSM dah lama berlalu, so saya teramat berat untuk nak fikirkan semula.

p/s: saya tak suka buat kerja berulang-ulang kali

Mata Raisho~

Thursday, September 29, 2011

First Time on You-Tube!

Assalamualikum wbt...

2 minggu lepas, 14 September 2011, saya dijemput untuk memberikan Forum Akademik: STEP. Anjuran PEMBINA UTM. Ni pertama kali saya jadi panelis forum. Agak berdebar pun ada juga. Anyway, masih banyak kekurangan yang ada. Cuma mana yang bermanfaat tu boleh la jadikan contoh. Mana yang kurang baik tu, saya mohon maaf....

Tersangat Letih Minggu Ni....

Tak suka sebenarnya menulis luahan perasaan cenggini.... Tapi macam rasa nak tulis gak. Anyway, saya cuba untuk relatekan penulisan ni kearah yang positif, insyaAllah...

Jadi student ni memang assignment melambak. Tambah lagi post-graduate student macam saya ni. Dengan report, book chapter, claim, registration subject. Kemudian nak kena setup 'bulatan' baru, diminta jadi AJK untuk 3 program. Dapat mesej semua dalam satu malam! Kemudian dengan tugasan media. Kemudian bos pulak push suruh buat penggambaran, video, jadi MC. Adus, fening~ 



** Faint **

Tersedar semula... Tak tahu nak respond apa sebenarnya. Nak fikir pun dah letih...

Cuma saya sentiasa ingat pesan abang usrah saya, "Jangan cepat melatah..."
Alhamdulillah saya masih dapat bersabar. Cuma berharap agar orang tak la fikir saya ni superman, boleh buat semua benda. Settle satu-satu dulu kot...

Agak-agak kalau saya tak respond apa-apa mesej atau email tu, means cuba cari alternatif lain dulu. Bukan tak mahu respond, tapi dah tepu~

p/s: asah kapak biar tajam. Kalau tumpul, hasil kayu pun kurang, kualiti pun kurang juga

Friday, September 9, 2011

Daftar UTM kali ke-2

Alhamdulillah kelmarin saya dah berjaya mendaftarkan diri di Universiti Terulung Malaysia atau lebih dikenali dikalangan sahabat-sahabat saya sebagai Universiti Tarbiyah Mahasiswa (UTM la tu).

Kali ini kali ke-2 daftar kat UTM ni. Untuk PhD atau Doktor Falsafah. Umur saya masih lagi 22 tahun dan akan masuk 23 tahun pada hujung bulan 10 ni. Macam tak percaya pulak ambil PhD masa umur macam ni. Alhamdulillah ini rezki saya. Setiap orang ada rezki masing-masing yang Allah telah tetapkan. Semoga rezki yang dikurniakan dapat saya syukuri dan menjadikan diri lebih tawadhuk.

Sebenarnya bukan mudah nak menempuh alam falsafah kedoktoran ni sebagai fast-track student. Means dari Bachelor Degree terus ke PhD tanpa perlu mengambil Master. Baru je start, dah macam-macam tekanan dihadapi. Antaranya sering tertanya-tanya "Apa contribution aku? Apa selepas ni yang akan dicapai?" . Lepas tu ada jugak orang cakap "Budak ni boleh ke? Buat apa nak habis belajar cepat-cepat" dan pelbagai kata-kata yang membuatkan moral down.

Orang-orang kampung juga sanak saudara dan keluarga sendiri meletakkan pengharapan yang tinggi. Baru kali ini saya merasakan pengharapan dari mereka begitu tinggi. Ada pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang memberikan kata-kata semangat untuk melihat kejayaan memperoleh PhD dalam keluarga kami. Agak berat sebenarnya tanggungjawab yang harus digalas. Tidak semudah yang dilihat oleh pandangan mata. Tetapi akan saya usahakan yang terbaik dan semoga reda Allah sentiasa mengiringi bersama...

Dapat supervisor yang baik amat penting sekali. Alhamdulillah dapat jumpa dengan Dr. Athif. Baru kenal 2 bulan, tapi rasa macam dah setahun. Walaupun Dr. Athif ni baik, tapi macam tegas gak la bila tak buat keje (hopefully dia tak baca post ni. hehe.... ). Nasihat beliau banyak berguna untuk masa depan. Dia kata, "Tak perlu hirau sangat orang yang tak suka pelajar fast-track ni. Analoginya begini, kalau kanak-kanak dah mumayyiz, tiada masalah nak solat di saf hadapan. Awak faham kan maksud saya".

Suasana dikelilingi kawan-kawan yang baik pun amat membantu. Ili, Nuqman, Asyraf, dan Khairuddin ialah group kami under Dr Athif. Diorang banyak membantu dan saya hargai pertolongan-pertolongan mereka. Pesan abang Din (Khairuddin), kalau jumpa Dr. Athif ke atau buat apa-apa, jangan lupa rakam. Nanti boleh revise semula.

Akhir sekali, mohon doa daripada sahabat-sahabat semua ya. Moga dipermudahkan jalan ini dan berjaya dengan cemerlang mengikut tempoh perancangan. Moga kejayaan saya nanti juga merupakan salah satu umat Islam, dan memberi semangat kepada seluruh umat Islam untuk terus mencari Ilmu demi memartabatkan Islam.

Wednesday, August 17, 2011

Tazkirah Ramadhan

Assalamualaikum wbt... Bersempena Ramadhan yang mulia ini, saya bawakan tazkirah-tazkirah Ramadhan... Moga-moga ada manfaat yang dapat kita ambil =)

Siri 1 - Keberkatan Ramadhan

Siri 2 - Persediaan Lailatulqadar

Monday, August 8, 2011

JADUAL BERBUKA PUASA JOHOR 1432H

Salam... Kawan-kawan dah ada jadual berbuka puasa ke belum? Kalau belum, boleh dapatkan dari blog ni. Tapi untuk penduduk-penduduk di Negeri Johor sahaja...

Download High Resolution: Jadual Berbuka Johor 1432H

Saturday, August 6, 2011

Celik IT: Access terus ke Jepun, UK, US, Australia dalam dunia 3D!

Assalamualaikum... Apa Khabar?

Harini jom belaja satu benda baru yang saya jumpa minggu lepas...

Nak tahu apa dia? Hehe... dari tajuk pun dah tahu apabenda. Semua orang bercita-cita nak pergi ke luar-negara. Tengok budaya orang bekerja, belajar, buat research, melancong, jumpa kawan-kawan dll.

Kali ni saya akan bawakan anda TERUS ke Jepun. Sebab apa Jepun? Sebenarnya negara lain pun boleh. Tapi saya pilih Jepun sebab dari dulu suka sangat nak ke negara Sakura tu. Tambah lagi negara yang terkenal dengan kartun Naruto, kebudayaan Asia, dan Advance in Technology.

Ok, sebenarnya mudah je caranya. Cuma kita je yang tak perasan kot pembaharuan google map yang terkini. Ikut saya step-step dia:

1) Bukak google map
2) Pastu carik negara Jepun atau search Kyoto Japan
3) Zoom ke Bandar Kyoto. Scrool guna mouse untuk zoom-in atau zoom-out
4) Drag gambar orang warna oren pada panel zoom, ke arah jalanraya yang berwarna biru
5) Jeng-jeng!! Anda dah sampai ke Kyoto~

~ Selamat Mengembara Kawan-Kawan ~

Search Nama Tempat, kemudian drag orang warna oren tu...
Sekitar Pemandangan di Bandar Kyoto
Tadaa~ Dah sampai Jepun... Boleh jalan-jalan gunakan mouse... Navigasi jalanraya akan muncul bila mouse digerakkan...

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan: Pastikan Kita Tak Rugi!

Alhamdulillah... Syukur kepada Allah... Sekarang ni dah masuk bulan Ramadhan Al-Mubarak...

Syaitan dirantai, maka mudah bagi kita untuk berbuat kebaikan. Mudah juga nak hindar kejahatan... Kalau ada jugak terdetik nak bermalasan berbuat baik tu atau suka nak buat jahat tu, tandanya bukan sebab syaitan. Tapi sebab habit yang dah terbiasa. Bulan puasa ni la yang paling mudah nak ubah...

Hadiah yang paling berharga bulan ni ialah Lailatulqadar... Malam yang lebih baik dari 1000 bulan! Siapa yang dapat bertemu malam ni memang untung betul... Doa insyaAllah mudah dikabulkan dan ibadah berkali-kali ganda.

Masa bulan ni, kita kena ada target improvement nilai-nilai ketaqwaan. Sebab implikasi puasa ni adalah untuk melahirkan insan taqwa. Ada disebut dalam Quran mengenai tujuan akhir kenapa kita kena berpuasa... iaitu moga-moga kita bertaqwa

"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" [Al-Baqarah: 183]

So, benda paling mudah untuk kita improve ialah membaca Quran. Alhamdulillah kat masjid-masjid, surau-surau, banyak buat Tadarus bersama-sama. Saya target tahun ni nak khatam 2x. Doakan mudah-mudahan hajat tercapai... Tahun-tahun sudah banyak dugaan, dengan exam dan study, kadang-kadang rasa sayang masa tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya... Sahabat-sahabat pun kena letakkan target juga. Bak kata orang, kejayaan bermula dari angan-angan. So kita jadikan Ramadhan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya...

Ok, sampai di sini sahaja... Selamat berterawih... (^_^)!

p/s: Suka bila pergi surau nampak ramai orang yang mengaji selepas solat. Budaya yang baik. Jom amalkan. Masa terluang diisi dengan tilawah Quran.

~ Bulan Ramadhan, Bulan Quran ~

Sunday, July 31, 2011

Aku, Aman Palestin dan Pak Arab

Tersebut kisah semasa konvokesyen semester lepas....

Aku bersama seorang sahabat Aman Palestin, Muiz namanya, pergilah meronda-ronda blok KTC. Tujuan kami hanya satu. Iaitu mengumpulkan sumbangan ikhlas Aman Palestin untuk diberikan kepada rakyat Palestin. Blok yang kami sasarkan ialah S37, S38, S39 dan S40...


Aman Palestin, pertubuhan berdaftar yang komited menghulurkan bantuan ke Palestin sepanjang tahun
Gambar: Program yang dianjurkan oleh Aman Palestin baru-baru ini

Segala-galanya berjalan lancar... Ramai pelajar-pelajar yang menghulurkan sumbangan... Alhamdulillah... Syukur kehadrat Allah SWT kerana begitu ramai rakyat Malaysia yang terus menerus menyumbang kepada rakyat Palestin. Tidak terkecuali juga kepada pelajar-pelajar non-Muslim, iaitu pelajar Cina dan India. 

Bagi Muslim khususnya, kami doakan semoga Allah SWT memberikan barokah dalam rezeki anda. Ketahuilah, sebelum anda memasukkan nilaian mata wang ke dalam tabung-tabung bergerak Aman Palestin itu lagi, Allah SWT telah terlebih dahulu memberikan anda pahala menerusi niat ikhlas tersebut... Ya Allah kurniakan mereka rezeki yang penuh barokah dan kehidupan yang dilimpahi rahmat... Amin...

Satu perkara yang memberikan kesan ialah tatkala kami pergi meronda ke blok S38. Blok ini dihuni oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Ada yang datang dari China, Bangladesh, Somalia, dan kebanyakannya dari Tanah Arab. Perkara yang menyentuh tersebut ialah, tatkala kami meminta bantuan kemanusiaan dari Pak-Pak Arab tersebut, mereka tanpa melengahkan masa terus mengeluarkan not wang bernilai RM5 dan RM10. Hampir kesemua Pak Arab yang kami temui akan memberikan huluran bantuan. 

Jika ada yang tidak membawa wang (berada di bilik kawan), mereka akan rasa seperti serba salah. Sikap inilah yang membuatkan aku tergerak hati untuk memuji sisi-sisi kebaikan yang mungkin boleh kita jadikan contoh. Moga-moga timbul di hati kita rasa untuk berlumba-lumba membuat kebaikan...

So, bersempena bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak sampai 24 jam je lagi ni, mungkin kita boleh cuba-cuba renungkan hadith dari Nabi SAW ini:

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan" HR Tirmidzi

Moga-moga Madrasah Ramadhan kali ini tidak meninggalkan kita hanya dengan lapar dan dahaga. Tetapi ada nilai-nilai positif, keimanan dan ketaqwaan yang dapat kita tingkatkan... Amin...

Tuesday, June 14, 2011

Ketika Hujan Turun...

Assalamualaikum wbt...
Akhir-akhir ini, kita berada dalam musim hujan. Jadi saya terpanggil untuk menulis
beberapa coretan berkaitan hujan...

"Ketika Hujan Turun"
Oleh: Muhammad Rusydi bin Muhammad Razif

Gambar Hiasan: Ketika Hujan Turun


Ketika hujan turun,
Ada yang bertempiaran,
mengangkat baju di jemuran.

Ketika hujan turun,
Ada yang cepat-cepat menutup tingkap,
Bimbang tempias air hujan memasuki rumah.

Ketika hujan turun,
Ada yang berlari-lari,
mencari teduhan.

Ketika hujan turun,
Ada yang tidak sempat berteduh,
Lalu basah ditimpa hujan.

Ketika hujan turun,
Ada yang marah-marah,
Sebab tidak dapat melakukan aktiviti di luar rumah.

Ketika hujan turun,
Di satu sudut terdapat seorang hamba Allah,
Sedang melafazkan doa...

اَللهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
(Allahumma Soyyiban Nafia'an)
"Ya Allah (turunkanlah) hujan yang bermanfaat".
[Hadith Bukhari]


Hakikatnya hujan itu Allah yang turunkan. Berdoalah agar ia memberi manfaat dan rahmat buat sekalian makhluk di muka bumi ini... Jadilah seperti hamba Allah tersebut...

Thursday, June 9, 2011

Jangan Biarkan Anda di'cop' Sebagai Muflis!!

Assalamualaikum wbt....

Lama tak menulis, kali ini sebut pasal muflis pula. Muflis tu semua orang tahu, maksudnya dalam akaun '0' atau negatif. Semua orang tak nak akaun dia negatif betul tak?

Baru-baru ni seorang tokoh Nusantara, Syeikh Nuruddin Al-Banjari datang ke Kampung Pandan (Jumaat lepas). Saya terpanggil untuk menghadiri ceramah selepas solat maghrib. Antara bait-bait kata beliau semasa ceramah tersebut ialah (maksudnya lebih kurang):

Di akhirat nanti pahala-pahala anda akan dituntut. Hatta seorang suami pun akan dituntut pahalanya oleh isterinya sendiri! Masing-masing akan cuba untuk menyelamatkan diri sendiri. manusia ketika itu semuanya "Nafsi-Nafsi".
 ** "Nafsi-Nafsi" itu bermaksud memikirkan hal sendiri-sendiri.
Syeikh Nuruddin Al-Banjari

Nah, bagaimana pula seorang isteri sampai sanggup untuk menuntut pahala dari suaminya sendiri? Ok, kita lihat semula apakah tanggungjawab-tanggungjawab seorang lelaki. Sebagai seorang lelaki, kita diberikan pertanggungjawaban kepada 4 orang perempuan. Siapa?


  • Ibu - Setelah ibu tua, seorang lelaki berkewajipan untuk menjaga ibunya
  • Isteri - Isteri perlu diberi didikan agama atau menggalakkannya menuntut ilmu agama. Seorang suami wajib menyuruh isterinya menutup aurat ketika berada dihadapan lelaki bukan mahram. Nafkah zahir dan batin wajib diberi
  • Saudara Perempuan - Sama ada kakak atau adik, sentiasa berikan mereka nasihat agar mereka menjadi anak yang solehah dan taat perintah Allah
  • Anak Perempuan - Wajib bagi seorang ayah memberikan didikan berkaitan dunia dan akhirat serta mendidik anaknya sehingga dapat menentukan dan memilih mana yang benar dan menjauhi segala yang haram (batil)


Di hari akhirat nanti, keempat-empat perempuan ini akan menuntut balas andaikata ada diantara tanggungjawab-tanggungjawab tersebut tidak dilunaskan. Mereka akan menuntut tanpa mengira siapa orang yang dituntut tersebut. Di akhirat nanti, semuanya "Nafsi-Nafsi"


Hai orang-orang yang beriman, peliharalah DIRIMU dan KELUARGAMU dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
(At-Tahrim 66: Ayat 6 )

Wallahua'laam...

Tuesday, March 8, 2011

Bedah Buku: Menundukkan Pandangan

Assalamualaikum wbt...


Di sini ada perkongsian yang saya ambil dari buku "Keluasan Islam" terbitan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


~ Semoga Bermanfaat, dan Selamat Beramal ~

Sunday, March 6, 2011

Nota Buat Pencinta Islam: Ekslusifkah Kita?

Assalamualaikum wbt...

Nota ini ditulis khusus buat para Pencinta Islam merentas mana-mana jua management dakwah dan umumnya pada semua.

Hampir seminggu saya memikirkan perkara ini. Perkara yang ditakuti lebih 6 tahun yang lalu kini benar-benar berlaku, benar-benar terjadi. Ianya berkaitan bagaimana sikap sebagai seorang daie. Dalam tulisan ini, kalimah "enta" juga merujuk kepada "enti" dan "akhi" juga boleh dirujuk kepada "ukhti".

Pernah antum dengar orang kata,

" Ahli persatuan/ kelab/ jemaah ni tak mesra... "
 " Diorang ego... "

Dan pelbagai lagi kata-kata yang sememangnya tidak diharapkan merujuk kepada para Pencinta Islam. Timbul persoalan, bagaimana kata-kata ini boleh terbit dibibir mereka? Bagaimana sanggup mereka melemparkan kata-kata sebegitu?

Akhi, setiap sesuatu pasti ada asbab musababnya. Ana yakin antum telah melakukan yang terbaik demi Islam. Antum telah banyak berkerah keringat dan masa demi Islam. Sesungguhnya Allah tidak akan menyia-nyiakan usaha antum dan insyaAllah pahala yang besar di sisi Allah itu telah tersedia buat para pendakwah yang berjuang dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.

Cumanya di sini, ana cuba untuk membawa antum ke satu cara fikir luar kotak. Untuk mengenali mad'u-mad'u, cara fikir kita mestilah juga berada pada posisi seorang mad'u. Antum semua pasti pernah menjadi mad'u. Selami fikiran para mad'u agar banyak persoalan dapat terjawab.

Kita cuba koreksi diri kita dan cara kerja kita. Ini adalah salah satu cabang yang penting bagi menghasilkan output yang maksima. Terkadang kita telah usahakan banyak program-program yang baik, namun jumlah mad'u yang hadir masih sama. Tiada pertambahan.

Memang mehnah dakwah itu tidak ramai yang akan memilih jalannya. Akan tetapi, apakah telah kita usahakan yang terbaik untuk dakwah? Sejauh manakah kita telah kenal mad'u kita? Sehampir mana kita telah mendekatkan diri kita pada mereka?

Sering terjadi bilamana berselisih dengan mad'u di jalanan, apakah kita menghulurkan salam? Atau mengucapkan salam? Salam adalah sunnah Nabi Muhammad SAW yang mudah. Dan ianya adalah indicator sebuah kemesraan.

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru r.a. sesungguhnya seorang pemuda telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai apakah Islam yang paling baik: "Maka jawab Baginda Rasulullah : "Memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang dikenali dan yang tidak dikenali"

Seringkali kita solat di masjid-masjid atau surau-surau, tapi kenalkah kita dengan jemaah surau kita? Hatta nama mereka pun adakah kita ambil tahu dan ingat? Dalam 10 wasiat Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ada disebutkan bahawa asas dakwah adalah berkenal-kenal dan berkasih-sayang.

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenali
dan yang tidak dikenali merupakan sunnah


Seringkali berprogram atau ada perjumpaan, kita hanya bermuayasyah (bergaul) sesama kita sahaja. Lupakah kita bahawa mad'u-mad'u yang hadir bagi mereka adalah sangat terasing dengan suasana yang ada. Mahal sangatkah air muka kita dan apakah ada emas dalam mulut kita sehingga kita tidak menegur mereka? Ekslusif sangatkah kita?


Terkadang kita sangat mesra dengan orang yang berada jauh dari kita, tetapi kemesraan itu tidak dihulurkan pada orang-orang disekeliling kita. Kita berdakwah pada orang yang jauh, tetapi jangan dilupa asas dakwah, mad'u adalah orang yang berada disekeliling kita. Jangan dilupakan ahli keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan di sekeliling kita.

Kadangkala ada yang berfikiran perlu ada kuasa untuk berdakwah. Akhi, Islam bukan begitu. Dakwah tidak semestinya perlukan kuasa dan pengaruh. Nabi Muhammad SAW mula berdakwah tanpa pangkat. Walaupun dioffer untuk menjadi ketua kaum Quraisy pada fasa awal perkembangan Islam, namun baginda menolak. Baginda memulakan dakwah dengan akhlak terpuji Baginda, tidak dengan kuasa.

Ya, dengan kuasa pelbagai perancangan dakwah dapat dijalankan. Tetapi ingatlah wahai akhi, kuasa tidak akan bertahan lama jika tiada yang mendokongnya. Dokongan-dokongan dari masyarakat akan hadir dari jiwa mereka sendiri apabila kepercayaan itu diberikan kepada orang yang mereka kenal akan akhlak, keramahan dan keikhlasannya dalam berdakwah. Dakwah Islam adalah dakwah kasih sayang. Pendokong-pendokong Islam haruslah terdiri daripada rijal-rijal yang kental jiwanya. Tidak dengan mengumpul angka-angka kosong?

Astaghfirullah... Astaghfirullah... Astaghfirullah...

Sesungguhnya ana merasai banyak daripada kata-kata ini yang belum ana sendiri laksanakan. Menulis benda yang belum diri sendiri laksanakan merupakan suatu getaran pada hati dan jiwa yang ingin menyampaikan. Namun penulisan ini adalah sangat penting untuk kita sama-sama melihat kembali objektif-objektif dakwah. Ambillah teguran ini sebagai positif dan kita sama-sama berusaha kearah yang lebih baik, terutamanya kepada diri penulis yang masih sangat banyak kedaifan dan kekurangan ini...

Tuesday, March 1, 2011

~ Al-Mathurat Doa Kita Semua ~

Assalamualaikum wbt...

Mathurat? Macam selalu dengar je... Biasa nampak buku kecil tu kat surau-surau atau masjid. Kadang-kadang ada nampak orang baca. Tapi apa sebenarnya mathurat ni?

Ni  salah satu Al-Mathurat yang disertakan Surah Yasin di dalamnya


Sekarang ni ada banyak bentuk dan design. Ini design kecil dan comel

Apa Kandungannya?

Dalam mathurat, terkandung himpunan doa-doa yang mathur (terbaik). Doa-doa bacaan Nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Doa-doa ini dihimpunkan semula oleh seorang tokoh Islam, Imam As-Syahid Hassan Al-Banna. Doa-doa yang terkandung dalam mathurat ini dipetik dari sumber rujukan utama Islam iaitu Al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Antara doa-doa dalam Mathurat adalah doa meminta perlindungan dari gangguan syaitan, mohon dijauhkan sifat malas, bakhil, lemah, doa rabitah (kesatuan hati), doa kesihatan tubuh badan dan banyak lagi. Semuanya bukan untuk siapa-siapa, tapi untuk diri kita sendiri.

Sangat baik untuk dibaca waktu pagi dan petang. Andaikata tidak sempat baca, pasangkan je di PC atau mp3 kereta. Kalau dapat hafal lagi bagus. Selamat beramal ~


Dapatkan Senaskhah...

--> Kat pasaran ada jual. Biasanya kedai-kedai buku ada jual
--> Boleh juga download text Mathurat kat link ni
--> MP3 link sini
--> Juga boleh lihat di youtube seperti di bawah ni



Thursday, February 24, 2011

jOm haDiRi dAuraH SiRah!

Hati Dan Fikiran Yang Sejahtera, Kembalilah...

Ku mencari hatiku, ke mana dikau pergi?
Ku mencari fikiranku, ke mana dikau melayang?

Oh...

Hatiku ada pada kalam-kalam Ilahi...
Fikiranku ada pada zikrullah,
pada setiap ingatan-ingatan kepadaMu Ya Robbi, Tuhan Pencipta Alam ini...

Wahai hatiku...

Kembalilahmu pada asal tempatmu,
Tamanilah daku dalam setiap waktu untukku mengingati Tuhanku,
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati ini,
Tetapkanlah hati-hati kami dalam agamaMu dan dalam ketaatan kepadaMu...

Wahai fikiranku...

Kembalilah pada asal tempatmu,
Dampingilah daku dalam setiap langkah-langkah perjuanganku,
Wahai Tuhan yang berkuasa atas segala fikiran-fikiran makhluk,
Tetapkanlah fikiran-fikiran kami dalam agamaMu dan dalam ketaatan kepadaMu...

Hati dan fikiran yang sejahtera...
Kembalilah, dan dampingilah daku...

Saturday, February 19, 2011

Akhlak Mulia Cara Hidup Kita...

Bismillahirrohmanirrahim...

Semua orang suka hidup senang. Semua orang suka hidup bahagia. Semua orang suka berada dalam suasana gembira. Kalau kita tanya siapa-siapa, suka melancong ke mana? Maka ramai yang nak keluar negara. Macam-macam negara orang nak pergi. Especially negara-negara maju dan negara-negara yang mempunyai tempat-tempat yang ada pemandangan yang cantik-cantik. Pemandangan alam ciptaan Allah. Kalau kat UTM tu, masing-masing berlumba-lumba nak pergi GOP (Global Outreach Program).

Syoknya pergi negara orang. Kadang-kadang jeles tengok gambar kawan-kawan kat oversea. Ada yang pergi Seoul, Jepun, Beijing, New Delhi, Bandung, Australia dan tidak kurang juga ada yang pergi ke negara-negara timur tengah.


Gambar sahabat-sahabat di Perth, Australia


Jom usyar 10 negara yang mendapat Top 10 "Happiest Countries in The World"

  1. Denmark
  2. Switzerland
  3. Austria
  4. Iceland
  5. Finland
  6. Australia
  7. Sweeden
  8. Canada
  9. Guatemala
  10. Luxembourg

Nah, bagi sesiapa yang belum pernah melancong ke luar negara, boleh fikir-fikirkan nak buat GOP kat mana nanti... huhu...


SEOUL... 30 MINIT KEPADA 10 MINIT...

Walaupun saya tidak pernah pergi ke mana-mana diantara negara yang tersenarai di atas, namun syukur pernah berpeluang melawat Seoul, Korea Selatan. Pengalaman berada di Seoul banyak memberikan pengajaran-pengajaran positif. Dan membuka mata dan pemikiran luar kotak. Ianya adalah berkaitan bagaimana masyarakat di Korea mengubah sikap mereka. Jika 15 tahun dahulu, Korea dikenali sebagai negara yang apabila membuat sesuatu janji, pasti akan di cop lambat 30 minit. Senang kata, janji Korea adalah janji yang lewat 30 minit.

Setelah itu, masyarakat di Korea cuba untuk mengubah sikap mereka. Mereka cuba mengubah pandangan dunia terhadap masyarakat mereka. Dengan rasa keinginan yang tinggi, semangat yang tinggi, rasa kemuliaan terhadap bangsa mereka, akhirnya mereka berjaya mengubah sikap mereka. Kini dunia menyaksikan bahawa janji Korea adalah tidak lebih 10 minit! Kini Korea telah menjadi salah sebuah negara maju. Walhal 15 tahun dahulu, kemajuan Korea tidaklah lebih jauh bezanya dengan Malaysia.

Dongguk Universiti, South Korea

Waiting for Subway


Everybody were happy at Seoul

At National Folk Museum, Seoul

Sunday, February 13, 2011

Anugerah Bintang Canselor: Pelajar Cemerlang (Siswa)

Tadi ada dinner kolej. Terkejut juga dapat anugerah. Alhamdulillah dapat anugerah Pelajar Cemerlang (Siswa) Kolej Tuanku Canselor.

Tak sangka...

Tah macamana boleh dapat. Mula-mula tak rancang pun nak datang dinner. Sebab ada meeting. Tengah-tengah meeting tu dapat panggilan dari pihak penganjur. "Datang tak malam nie?" 

Aik, datang apa? Bayar pun tak...

Tengok jam. 9.05pm. Aik, ni mesti dah start ni. Teringat pengalaman jadi MC kolej dulu. Boleh aspect pemberian anugerah dalam pukul 10pm. So, sempatlah bersiap dan menuju ke Dewan Sultan Iskandar. Sempat juga meminjam baju batik adik junior, Zhahran. Jazakallah khair Zare...

10.00pm...

Dah start makan. Habis makan, saat yang ditunggu tiba. Ada banyak anugerah yang akan diberikan untuk pelajar-pelajar aktif dan pelajar cemerlang. Banyak lagi anugerah-anugerah lain yang tidak disebutkan di sini. Alhamdulillah saya tidak menunggu lama untuk sampai giliran saya.

Hadiah yang dapat
Anugerah Pelajar Cemerlang KTC


Friday, February 11, 2011

Tanasuh: Budaya Terkini Yang Perlu Menjadi Ikutan Ramai

Macam-macam yang orang sembang sana-sini pasal budaya. Budi bahasa budaya kita, budaya cemerlang, budaya profesional, budaya membaca dan macam-macam budaya. Kat sini nak ketengahkan satu lagi budaya yang semakin menjadi kegemaran ramai. Budaya ni memang mudah diikuti, senang diamalkan dan sangat seronok. Ianya orang panggil budaya TANASUH~

Monday, February 7, 2011

Working Overseas Lead to Brain Drain??

Bagi kebanyakan mahasiswa tahun akhir, mendapatkan pekerjaan adalah menjadi agenda utama selepas bergelar geraduan nanti. Ini bagi yang tidak bercita-cita untuk menyambung pelajaran. Kerja di luar negara baguskah??

Tentu ada pros and cons... Jom selidiki...

Secara umumnya, bilamana orang mahu kerja di luar negara, tentulah orang tersebut akan memilih negara yang memberikan pulangan lebih baik dari dalam negara sendiri dari aspek ekonomi, kestabilan politik, dan gaya hidup yang lebih baik.

Tetapi, adakah keburukannya??

Saya baru membaca sebuah buku yang dikeluarkan oleh Tuan Haji Aminuddin Yahaya, bertajuk "Kesatuan Melayu, Masihkah ada harapan?" Dalam buku ini ada diterangkan mengenai konsep Brain Drain.




Wednesday, February 2, 2011

BEDAH BUKU: Don't Send a CV

" Hang baca buku apa Udi?? "

Tanya seorang rakan sekelas...

Saya baca buku ni. Buku pasal nak cari keje. Saya habiskan buku ni sebelum pergi interview Toshiba, my first interview... Alhamdulillah 1st interview lepas. Tapi bukan sebab buku ni kot. Mungkin sebab ada rezeki masa tu. Sekarang ni sedang menunggu panggilan untuk interview ke-3 Toshiba di Jepun. Ada kawan yang dah dipanggil dan dapat. Tahniah kepada dia. Saya tak tahu lagi dapat ke tak. Doa-doakanlah ye...

Ok, back to the point, kita story sket pasal buku ni...


Sesuai untuk yang sedang mencari kerja


Tajuk buku: "Don't Send a CV"
Penulis: Jeffrey J. Fox
Sape die nih?? : The Bestselling author of "How to become CEO"
Kata-kata ringkasan buku:

" Amaizing jobs are out there, but in today's competitive workplace, there're harder to get than ever. In don't send a CV, Jeffrey J. Fox has devised the winning strategy for getting the job you've always dreamt of. Fox provides a formula for proven success with this no-nonsense collection of surprising and daring rules, such as: 
  • CVs don't sell
  • Don't ask for directions
  • Make a big splash... not lots of ripples
  • Don't talk in an interview "

KARNIVAL KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN

Dari tajuk dah tahu nak tulis pasal apa. So, tak perlu story panjang, saya perincikan mengenai program ini...

"KARNIVAL KEMANUSIAAN RAKYAT PALESTIN"

Tarikh: 28 Januari 2011 - 6 Februari 2011
Tempat: Dataran Pulau, Mersing
Aktiviti: Banyak sangat aktiviti. Boleh tengok di lampiran ini
Penganjur:
  • Kerajaan Negeri Johor
  • Majlis Daerah Mersing
  • Aman Palestin Johor
  • TV Al-Hijrah



P/S: Selain pihak penganjur yang terlibat, pihak sekolah di sekitar Mersing juga akan turut serta memeriahkan karnival ini. Jom ke Mersing! Sertai pelbagai aktiviti menarik sambil menderma...

~ Selamat beramal ~

Tuesday, February 1, 2011

KEMM 1511: Apa Yang Menarik?

Konvensyen ni ada 3 pembentangan kertas kerja, 1 forum dan diselang-selikan oleh Pidato dan persembahan silat. Start jam 8.30am dan habis dekat pukul 6.00pm...

Kertas Kerja...

Ada 3 orang pembentang kertas kerja. Masing-masing amat mantap! Tajuk-tajuk pun hebat-hebat belaka~



  • Forum:
"Kejatuhan Melaka Sebagai Pelajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini"
    • Pengerusi: YBhg. Hj. Aminuddin Yahaya
      • Setiausaha Agung ISMA
    • Panel 1: Al-Fadhil Ustaz Abdullah Zaik Abd. Rahman
      • Presiden ISMA
    • Panel 2: YBhg. Prof. Datuk Dr. Abdul Latif B. Abu Bakar
      • Ketua II GAPENA
    • Panel 3: YBhg. Dr. Muhamad Razak B. Idris
      • Presiden ABIM
    • Panel 4: YBhg. Dato' Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman
      • Mantan Menteri Perpaduan Negara & Pembangunan Masyarakat


Kenapa Melayu? Kenapa Jatidiri? Apa kaitan dengan Islam?

Jawapannya ada dalam kertas kerja yang dilampirkan dan juga di link sini...


Pidato...

Pidato telah disampaikan oleh saudara Badrul Sani. Pidato dia memang hebat. Penuh semangat. Susah nak cakap, tengok sendiri yer... ade kat bawah ni video dia. Kalau yang real punya, kat dewan tu memang amat terasa kesedaran dan semangat untuk membina jatidiri.

Pidato Saudara Badrul Sani



Persembahan silat...



Montaj penutup...



Sekian dulu sampai di sini. Ada masa InsyaAllah berjumpa lagi...