Bismillahirrahmanirrahim...
Kali ini saya nak bercerita mengenai ego. Ego ini boleh berlaku tidak kira pada lelaki ataupun wanita. Ego yang semakin meninggi boleh menyebabkan seseorang itu hilang kawalan diri lalu nafsu merajai diri.
Bila seseorang itu hadir sikap egonya, dia mula akan merasakan hanya diri dia sahaja yang betul. Semua orang salah. Bolehkah begitu?
Ego boleh hadir bila seseorang itu merasakan diri dia sahaja yang terbaik, lalu menafikan kebaikan yang dilakukan oleh orang lain. Ego hadir bila seseorang itu hanya memikirkan hak dia sahaja, lalu mengabaikan hak orang lain. Ego juga boleh hadir bila seseorang itu telah terbiasa berada dalam suasana yang kondusif, iaitu keadaan dimana kata-kata dia sering diterima orang, kehadiran dia dimuliakan orang, dan apa yang dia lakukan sering menjadi tumpuan dan ikutan orang disekelilingnya. Sebenarnya ini merupakan salah satu virus yang boleh menyebabkan rosaknya ukhuwah!
Gambar Hiasan |
Jadi sahabat-sahabat, bagaimanakah untuk menurunkan ego ini?
Suka saya mengajak sahabat-sahabat untuk merenung kata-kata daripada As-Syahid Imam Hasan Al-Banna:
"Serendah-rendah ukhuwah adalah berlapang dada. Dan setinggi-tinggi ukhuwah adalah mendahulukan saudara mereka"
Nah sahabat-sahabat, pernahkah kita terfikir untuk menjadi orang yang mula-mula mendahulukan sahabat kita? Umpamanya semasa makan ambilkan air untuk orang lain atau melayan keperluan tetamu dengan layanan yang terbaik seperti layanan kepada orang yang paling kita sayangi? Pernahkah juga kita berlapang dada apabila ada perselisihan-perselisihan yang berlaku diantara kita dengan sahabat-sahabat kita?
Imam Syafie pernah berkata "Kataku mungkin salah dan kata penentangku mungkin benar"
Jika berjuang kerana Allah, terkadang ada masa-masanya ego kita harus diketepikan buat sementara waktu. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud:
"Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu..."
Justeru dapat disimpulkan disini bahawa ego itu merupakan suatu fitrah yang wujud dalam diri setiap insan. Ego boleh dikawal jika kita mengamalkan sikap berlemah-lembut terhadap saudara kita, mengutamakan sahabat-sahabat kita dan berlapang dada ketika ada perselisihan-perselisihan yang berlaku.
Semoga kehidupan sahabat-sahabat selepas ini lebih ceria, tenang dan bahagia dalam mengharungi hari-hari mendatang.
Wassalamualaikum wbt.
No comments:
Post a Comment